Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Hari Terbuka GLC 2022 yang berlangsung esok hingga Ahad menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan biasiswa kepada rakyat Malaysia selari dengan usaha kerajaan membangunkan sosio-ekonomi negara.

Program yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu disertai kira-kira 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) terkemuka negara.

Antara yang mengambil bahagian adalah Khazanah Nasional Bhd, Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan, Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Bertemakan Aspirasi Masyarakat Inspirasi Negara #KeluargaMalaysia, Hari Terbuka GLC menggariskan lima fokus utama iaitu rakyat, perniagaan, ekonomi, kesihatan awam dan agenda Bumiputera.

Melalui landskap dunia yang berubah pantas, GLC dan GLIC membantu negara membina sebuah masa hadapan lebih cerah serta sejahtera dengan menggunapakai konsep terbaharu untuk memastikan kemakmuran yang mampan dan juga inklusif bagi rakyat.

Kedua-dua badan itu banyak membantu membina asas pembangunan Malaysia dan akan terus mencipta peluang pekerjaan serta impak sosio-ekonomi yang positif untuk pemulihan negara.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, kementeriannya memulakan usaha penyelarasan fungsi badan berkenaan bagi memastikan terus mampu mempercepatkan pemulihan dan pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia pasca pandemik.

Beliau berkata, hari terbuka itu akan memberi peluang untuk rakyat mengetahui lebih lanjut mengenai peranan dan sumbangan GLC dan GLIC.

Selain itu, katanya, kementeriannya juga menyediakan portal MySTEP bagi menambah baik proses permohonan dan pengambilan pekerja bagi sektor awam dan GLC, tahun lalu.

"Sebanyak 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan strategik ditawarkan mulai Januari lalu," katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan merebut peluang Inisiatif SemarakNiaga yang dilancarkan pada 21 Februari lalu.

Katanya, kerajaan menyediakan peruntukan RM40 bilion bagi membantu PMKS bangkit semula selepas terkesan teruk dengan pandemik Covid-19 membabitkan pelbagai bantuan dan inisiatif seperti moratorium, pinjaman mudah dan subsidi gaji sekali gus membantu usahawan kekal bertahan daripada impak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 5:54 PM