DR Wan Junaidi (tengah) menyaksikan pertukaran MOA di antara Rizal (kiri) dan Sheyantha. FOTO Rohanis Shukri
DR Wan Junaidi (tengah) menyaksikan pertukaran MOA di antara Rizal (kiri) dan Sheyantha. FOTO Rohanis Shukri
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Usahawan mikro di Malaysia kini boleh memanfaatkan akses pembiayaan mudah bernilai RM150 juta melalui Aspirasi Assist.

Aspirasi Assist diperkenalkan menerusi kerjasama SME Corp Malaysia (SME Corp) dan Aspirasi, penyedia perkhidmatan kewangan digital di bawah Axiata Digital Capital Sdn Bhd.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya melalui SME Corp akan bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta bagi meningkatkan akses pembiayaan untuk usahawan mikro.

Katanya, pembabitan sektor swasta seperti Aspirasi ini sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan dalam pemberian dana.

"Permintaan untuk pembiayaan terus meningkat, oleh itu kapasiti kerajaan juga terbatas dan kami sentiasa menyokong syarikat swasta yang diiktiraf dalam menyediakan alternatif pembiayaan.

"Justeru, kementerian akan mempermudah dan mempromosikan akses ke landskap kewangan yang pelbagai melalui platform pembiayaan alternatif yang dipelopori oleh sektor swasta," katanya kepada media di majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara SME Corp dan Aspirasi di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy; Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital, Mohd Khairil Abdullah dan Pengarah Eksekutif Aspirasi, Sheyantha Abeykoon.

Sementara itu, Mohd Khairil berkata, Aspira Assist menawarkan pembiayaan mikro patuh syariah bermula RM1,000 hingga RM20,000.

"Usahawan boleh memohon pembiayaan secara dalam talian dan permohonan yang layak akan menerima dana dalam tempoh 48 jam," katanya.

Aspira Assist menawarkan terma menguntungkan seperti penangguhan pembayaran selama enam bulan dan kadar keuntungan serendah 0.5 peratus sebulan serta menyediakan insurans mikro sebagai faedah tambahan untuk melindungi pemohon yang diluluskan pembiayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 8:09 AM