PETUGAS perubatan hospital swasta mengenakan kelengkapan PPE melakukan saringan Covid-19 ke atas pesakit. FOTO Saifullizan Tamadi.
PETUGAS perubatan hospital swasta mengenakan kelengkapan PPE melakukan saringan Covid-19 ke atas pesakit. FOTO Saifullizan Tamadi.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hospital swasta menyatakan komitmen penuh untuk sama-sama membantu kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19, bergantung kepada keupayaan dan kapasiti yang termampu.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh berkata, beliau sendiri bertemu dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bagi menyatakan jaminan itu.

Bercakap ketika dihubungi menerusi program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV, Dr Kuljit berkata, hospital swasta mampu untuk merawat pesakit Covid-19 terutama kategori satu hingga tiga, namun jumlahnya tidaklah seramai di hospital kerajaan berikutan kekangan fasiliti dan sumber manusia.

"Tapi bila pesakit itu jadi kategori empat atau lima memerlukan rawatan rapi dan apabila ada masalah sedikit, semua hospital swasta kemungkinan tidak mempunyai katil ICU (unit rawatan rapi) secukupnya, kalau mempunyai ICU tapi dia kena diasingkan daripada pesakit-pesakit lain, itu yang menjadi masalah," katanya.

Beliau turut memuji kerjasama diberikan hospital kerajaan yang memberikan sokongan dan bantuan kepada hospital swasta termasuk memberikan latihan secara dalam talian dan latihan guna tangan dalam memberikan rawatan berkaitan.

Selain itu kakitangan hospital swasta turut diberi peluang untuk ke Hospital Sungai Buloh bagi melihat sendiri bagaimana pesakit Covid-19 mendapatkan rawatan, katanya.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat bersetuju hospital awam (hospital di bawah KKM, hospital universiti awam dan hospital angkatan tentera) dan swasta diletakkan di bawah pengoperasian secara hibrid berdasarkan konsep Hospital Kluster di bawah Pusat Kawalan Covid-19 Bersepadu.

Mohd Zuki dilapor berkata, mekanisme pembiayaan pesakit Covid-19 oleh pihak insurans di hospital swasta sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan industri insurans.

Sehingga 25 Januari 2021, terdapat 210 hospital swasta berlesen, dengan 129 hospital swasta menawarkan perkhidmatan pesakit dalam bagi bidang Perubatan Dalaman, dan daripada jumlah itu, 96 hospital swasta bersetuju untuk menyediakan rawatan Covid-19 dengan jumlah katil setakat ini adalah 1,252 katil, 65 katil ICU, dan 54 mesin ventilator.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 6:09 PM