AWANG Hashim (tengah) menyampaikan faedah hilang upaya sementara kepada penghantar makanan Hussain Mohamad Danial di rumahnya di Kampung Sukamari. FOTO Noorazura Abdul Rahman
AWANG Hashim (tengah) menyampaikan faedah hilang upaya sementara kepada penghantar makanan Hussain Mohamad Danial di rumahnya di Kampung Sukamari. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Pendang: Seramai 764 penghantar makanan terbabit kemalangan menerima bayaran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM1.3 juta.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata, bayaran faedah itu membabitkan individu hilang upaya sementara serta kekal dan faedah perubatan, orang tanggungan atau yang meninggal dunia.

"Bagi setiap permohonan diterima, kita akan proses segera sekiranya dokumen yang dihantar lengkap termasuk pengesahan doktor...paling lama dua atau tiga bulan sahaja mereka akan terima bayaran.

"Dalam sudut perlindungan dan kebajikan ini, setiap pekerja perlu beri perhatian kerana dalam apa jua kerja sekalipun di dunia ini ada risiko, jadi risiko inil kita perlu beri tumpuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan faedah hilang upaya sementara kepada penghantar makanan, Hussain Mohamad Danial, 25, di rumahnya di Kampung Sukamari di sini, hari ini.

Hussain yang juga penuntut sebuah universiti di Mesir terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan mengambil pesanan pelanggan Jun tahun lalu menyebabkan paha kiri dan tulang pinggul kirinya patah.

Mengulas lanjut, Awang berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 2.38 juta orang bekerja sendiri (OBS) di seluruh negara membuat caruman bersama Perkeso tahun ini.

Menurutnya, hanya 15.03 peratus atau 358,214 OBS mencarum dengan pertubuhan keselamatan itu setakat ini.

Dalam masa yang sama, Awang memberitahu sehingga kini pihaknya sudah menerima 12,000 aduan pekerja terhadap majikan mereka menerusi aplikasi 'Working ForWorkers' (WFW) sejak ia dilancarkan pada Mei tahun lalu.

Katanya, kementerian sudah menyelesaikan 60 peratus daripada jumlah kes aduan terbabit, manakala selebihnya sedang disiasat untuk tindakan selanjutnya.

"Kes-kes ini turut membabitkan mangsa banjir yang dibuang kerja oleh majikan mereka kerana tidak pergi bekerja dengan alasan banjir.

"Data aduan daripada mangsa banjir kita belum dapat jumlah yang tepat namun kita akan siasat dan melakukan semakan termasuk mengheret majikan ke mahkamah sekiranya didapati terdapat penindasan terhadap pekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 4:00 PM