Noorazura Abdul Rahman


Kubang Pasu: Sebanyak 1,769 aduan diterima membabitkan majikan tidak membenarkan pekerja untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, ia antara 3,737 aduan berkaitan pelbagai isu pemburuhan menerusi aplikasi 'Working For Workers' (WFW) dilancarkan kerajaan awal, Mei lalu.

"Aduan paling tinggi yang diterima menerusi WFW adalah majikan memaksa pekerja untuk datang bekerja di pejabat walaupun tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Kadang-kadang bukan setakat 80 hingga 90 peratus, malah masih ada hingga 100 peratus pekerja bekerja di pejabat atau kilang dan perkara ini tidak seharusnya berlaku dalam keadaan kita berusaha mengekang penularan Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 di sebuah kilang di Jitra, di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, sebanyak lima kompaun dikeluarkan membabitkan tiga kompaun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan masing-masing satu kompaun polis serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Kesemua kompaun terbabit dikeluarkan atas kesalahan tidak mengimbas aplikasi MySejahtera dan satu kes tiada penjarakan fizikal.

DATUK Awang Hashim (tengah) ketika mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan SOP PKP 3.0 yang turut disertai pelbagai agensi keselamatan lain di sebuah kilang di Jitra. FOTO Luqmana Hakim Zubir
DATUK Awang Hashim (tengah) ketika mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan SOP PKP 3.0 yang turut disertai pelbagai agensi keselamatan lain di sebuah kilang di Jitra. FOTO Luqmana Hakim Zubir

Sementara itu, Awang berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi JTK melakukan pemeriksaan ke atas 19,981 majikan membabitkan 108,877 tempat penginapan seluruh negara.

Katanya, sehingga hari ini, sebanyak 757 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446) yang membabitkan pelbagai jenis kesalahan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 125 kertas siasatan telah diambil tindakan pendakwaan dan 55 kes pendakwaan sudah selesai dengan jumlah denda dibayar sebanyak RM361,000.

"Manakala 305 kertas siasatan diberi izin kompaun membabitkan tawaran kompaun berjumlah RM3.2 juta terhadap majikan. Kesalahan paling tinggi adalah majikan tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 4:58 PM