KAKITANGAN MPHS menyita peralatan digunakan sebuah syarikat untuk menjalankan aktiviti rope swing di Kuala Kubu Bharu, pada 24 Jun lalu. FOTO ihsan MPHS
KAKITANGAN MPHS menyita peralatan digunakan sebuah syarikat untuk menjalankan aktiviti rope swing di Kuala Kubu Bharu, pada 24 Jun lalu. FOTO ihsan MPHS
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyita peralatan sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti sukan lasak hayunan tali tinggi atau 'rope swing' dalam operasi bersepadu di Kuala Kubu Bharu, di sini, pada 24 Jun lalu.

Yang Dipertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, operasi itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor dan polis susulan aduan berkenaan aktiviti itu yang masih beroperasi walaupun tidak mendapat kebenaran daripada mana-mana agensi berkaitan.

"Pemeriksaan di lokasi mendapati tiada aktiviti 'rope swing' dijalankan.

"Bagaimanapun, terdapat satu kabin serta beberapa peralatan sukan 'rope swing' berada di jambatan Pertak yang menutupi sebahagian daripada laluan jalan raya," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Hasry berkata, semasa operasi dijalankan pengurus syarikat terbabit hadir dan dimaklumkan akan kesalahan yang dilakukan.

"Pihak syarikat akur dan menghentikan operasi sehingga dapat memenuhi segala syarat ditetapkan.

"Sehingga kini, tiada kelulusan dikeluarkan JKR Hulu Selangor bagi penggunaan jambatan yang berkaitan untuk menjalankan aktiviti 'rope swing'. Selain itu, MPHS juga tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran atau kelulusan lesen untuk beraktiviti," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MPHS menyarankan pihak operator mendapatkan kebenaran melakukan aktiviti daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Beberapa syarat lain perlu diikuti bagi membolehkan aktiviti sukan itu dijalankan.

"Justeru, MPHS menyita 73 kon dan 34 halangan plastik serta kompaun mengikut Seksyen 46(1)(a) Akta 133 kerana meletakkan apa-apa barang yang boleh menyebabkan halangan di tempat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 3:14 PM