ANTARA pelanggan dan pelayan pusat hiburan yang diperiksa dalam serbuan itu. FOTO ihsan PDRM
ANTARA pelanggan dan pelayan pusat hiburan yang diperiksa dalam serbuan itu. FOTO ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Menyamar sebagai penghantar air untuk mengelak ditahan pihak polis.

Itu helah digunakan pelayan pelanggan (GRO) untuk melarikan diri dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur jam 12.45 tengah malam hasil maklumat dan risikan.

"Kami memeriksa 72 individu terdiri daripada 32 pekerja dan 40 pelanggan untuk proses dokumentasi.

"Hasil pemeriksaan dilakukan kami menahan tiga individu membabitkan seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis serta dua wanita warga Thailand disyaki GRO," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, ketika ditahan, wanita warga Thailand berkenaan mendakwa dirinya hanya menghantar air.

"Namun, hasil soal siasat lanjut dilakukan mendapati mereka adalah pelayan di pusat hiburan itu.

"Semua yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan lanjut. Kes itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 4:40 PM