ANTARA pelanggan sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, yang diperiksa dalam serbuan, tengah malam tadi. FOTO Ihsan Polis
ANTARA pelanggan sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, yang diperiksa dalam serbuan, tengah malam tadi. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Keseronokan pengunjung di sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, di sini, yang 'dibelai' wanita pelayan pelanggan (GRO) terbantut selepas mereka dikejutkan dengan serbuan polis di premis berkenaan, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur melakukan serbuan di premis berkenaan jam 12.50 tengah malam tadi.

"Dalam serbuan itu, kami membuat pemeriksaan terhadap 24 individu membabitkan 15 pelanggan dan sembilan pekerja premis bagi tujuan dokumentasi.

"Daripada jumlah itu, kami menahan empat wanita disyaki GRO membabitkan seorang warga Thailand dan tiga warga Vietnam berusia 22 hingga 39 tahun.

"Kami turut menahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengurus di pusat hiburan terbabit," katanya.

Habibi berkata, GRO terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM100 hingga RM150 bagi satu jam layanan mereka kepada pelanggan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada GRO itu digajikan oleh premis berkenaan yang juga tidak berlesen atau dibawa dari luar oleh pengunjung.

"Semua individu yang ditahan itu dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 3:10 PM