GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) memperuntukkan sebanyak RM1.43 bilion membabitkan 15 projek pembangunan mengurangkan risiko banjir, pemuliharaan sungai dan hakisan pantai di Johor.

Menterinya, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah peruntukan berkenaan termasuk 13 projek sambungan yang sedang dilaksanakan dan dua projek baharu yang mana sebahagiannya adalah kesinambungan daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

"Sebanyak RM81.3 juta diperuntukkan bagi mengurangkan risiko banjir termenung di daerah Batu Pahat, Johor.

"Sehubungan itu, Kasa melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia sedang melaksanakan Projek Menaiktaraf Sistem Mesra Alam (SMA) yang bernilai RM32.8 juta yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir disebabkan masalah sistem saliran tidak sempurna, kejadian hujan lebat dan fenomena air pasang besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Rancangan Tebatan Banjir di Kampung Parit Basri, Sri Medan, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, projek berkenaan turut membabitkan dua projek menaik taraf sistem saliran Sungai Suloh dan Peserai di Batu Pahat yang sedang dalam pelaksanaannya.

"Selain itu, sebanyak RM48.5 juta diperuntukkan dalam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batu Pahat yang sedang dalam proses pra-pelaksanaan bagi perkhidmatan perunding.

"Perlantikan kontraktor akan dilakukan pada tahun hadapan dan projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

"Projek berkenaan akan mengurangkan risiko banjir termenung sekiranya berlaku kejadian hujan lebat di kawasan Sri Medan dan di bahagian hulu Chaah dan Segamat serta kejadian air pasang besar," katanya.

Katanya, pelaksanaan projek-projek berkenaan akan memberi manfaat kepada 10,120 penduduk di Batu Pahat yang sering mengalami masalah banjir termenung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 12:33 PM