\Muhammad Sanusi Md Nor (tengah).
\Muhammad Sanusi Md Nor (tengah).
Oleh M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Peruntukan hampir RM200 juta diperlukan bagi menangani kesan dan kerja baik pulih kerosakan akibat banjir yang menjejaskan kira-kira 650 mangsa di Baling minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pembinaan dua empangan Sabo di Kampung Iboi yang kini dalam proses penilaian tender dapat memperlahankan aliran air Sungai Kupang dari Gunung Inas, sekali gus mampu mengurangkan impak banjir.

Katanya, pembinaan dua empangan berkenaan sedang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan ia bakal membabitkan kos RM20 juta.

"Kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat khas bersama pelbagai agensi berkaitan di bawah Kerajaan Persekutuan pada Ahad lalu, bagi membincangkan langkah menangani kesan banjir di daerah itu.

"Pembinaan Empangan Sabo bertujuan untuk menyekat bahan yang hanyut bersama aliran air deras seperti kayu dan bongkahan batu yang boleh memusnahkan penempatan penduduk," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, selain pembinaan dua empangan terbabit, perkara lain yang diputuskan pada mesyuarat adalah termasuk pelaksanaan rancangan tebatan banjir (RTB) Baling membabitkan tiga fasa.

Katanya, proses mengeluarkan tender bagi RTB Baling Fasa 1 dengan kos RM15 juta dijangka diselesaikan pada Februari tahun depan, manakala RTB Baling Fasa 2 dengan kos RM160 juta kini dalam proses penilaian tender.

"RTB Baling Fasa 3 pula dalam proses penyediaan kertas kerja untuk diangkat dalam permohonan bencana Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

"Pejabat Daerah Baling juga akan membaiki atau membina semula tiga titi di Kampung Padang Empang, Kampung Tanjung dan di jalan Kampung Iboi yang musnah atau rosak akibat banjir baru-baru ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerosakan cerun dan tanah runtuh yang dilaporkan berlaku di Kampung Kepala Bukit, Sekolah Menengah Agama (SMA) Yayasan Khairiah dan di Kampung Tualang juga akan diambil tindakan.

"Sebuah jambatan baharu akan dibina di Kampung Padang Cina dengan kos RM3 juta, selain itu sebanyak sembilan titi konkrit akan dibina atau dibaiki di beberapa kampung. Kesemua projek ini di bawah tanggungjawab Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Kedah.

"Kerajaan negeri juga sedang memberikan perhatian terhadap banyak aduan kerosakan infra termasuk tebing runtuh yang berlaku di beberapa lokasi di Baling, di mana berdasarkan penilaian kos membaik pulih kerosakan dan tebing runtuh itu dianggarkan sebanyak RM5.6 juta," katanya.

Rabu lalu, kira-kira 650 mangsa dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Baling akibat banjir yang berlaku selain menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur di beberapa kawasan di daerah itu termasuk kediaman penduduk yang dimasuki lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 3:54 PM