Penguat kuasa KPDNHEP Sabah melakukan operasi membanteras barang tiruan di sekitar Kota Kinabalu. FOTO Ihsan KPDNHEP
Penguat kuasa KPDNHEP Sabah melakukan operasi membanteras barang tiruan di sekitar Kota Kinabalu. FOTO Ihsan KPDNHEP
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menyita 1,355 aksesori wanita dan wangian tiruan dianggarkan bernilai RM24,760 dalam empat serbuan di negeri ini, Isnin lalu.

Pengarahnya Georgie Abas berkata, serbuan dijalankan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Sabah bersama empat wakil pemilik cap dagang berdaftar selepas menerima maklumat.

"Kesemua empat pemilik premis perniagaan terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi pertubuhan atau perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya akan terus menguatkuasakan undang-undang dan peniaga diingatkan supaya bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 3:47 PM