ANGGOTA KPDNHEP Selangor melakukan serbuan ke atas premis menjual alat ganti motosikal disyaki menjalankan perniagaan menggunakan cap dagangan tidak sah. FOTO IHSAN KPDNHEP SELANGOR
ANGGOTA KPDNHEP Selangor melakukan serbuan ke atas premis menjual alat ganti motosikal disyaki menjalankan perniagaan menggunakan cap dagangan tidak sah. FOTO IHSAN KPDNHEP SELANGOR
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Dua premis menjual alat ganti motosikal disyaki menjalankan perniagaan menggunakan cap dagangan tidak sah diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dalam dua serbuan berasingan baru-baru ini.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan dibuat susulan aduan oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki premis terbabit menyalahguna cap dagang tanpa kebenaran pemilik sah.

Katanya, bertindak atas maklumat, KPDNHEP Selangor menyerbu satu premis di Klang pada 25 Oktober dan Puchong pada 26 Oktober.

"Serbuan terhadap kedua-dua premis itu disertai wakil pemilik cap dagang bagi tujuan pengesahan dan pengecaman terhadap cap dagang yang disyaki tidak sah.

"Siasatan mendapati, barangan yang dijumpai di kedua-dua premis seperti pelbagai jenis komponen alat ganti motosikal dan aksesori dijual dan dipamerkan didapati menggunakan nama, jenama, cap dagang pemilik cap dagang secara tanpa kebenaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Zikril Azan berkata, dua Orang Yang Disyaki (OYDS) ditahan di premis masing-masing serta rakaman percakapan diambil bagi tujuan siasatan dan dilepaskan dengan jaminan polis.

"Kedua-dua OYDS yang ditahan semasa serbuan adalah pemilik premis, masing-masing adalah lelaki yang berusia 30 tahun dan 55 tahun.

"Dalam serbuan itu, sejumlah 1,523 unit barangan terdiri daripada pelbagai jenis

komponen alat ganti motosikal dan aksesori dirampas, manakala beberapa dokumen urus niaga lain turut disita bagi tujuan siasatan.

"Anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua premis yang diserbu terbabit adalah RM46,728," katanya.

Beliau berkata, dua kertas siasatan dibuka dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019, mempunyai dalam kawalannya bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

"Sabit kesalahan seseorang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tidak tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan cap dagangan berdaftar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 2:33 PM