Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) memantau pelaksanaan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) mengikut negeri bagi setiap tempoh Rancangan Malaysia dalam kawasan hutan pengeluaran dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Timbalan Menterinya, Ali Biju berkata, mengikut rekod kementerian, jumlah CTT berkurangan bagi setiap Rancangan Malaysia dan sehingga kini tiada negeri yang menjalankan aktiviti pembalakan melebihi kuota yang ditetapkan.

Menurutnya, pihaknya juga menguatkuasakan perundangan perhutanan serta mengadakan aktiviti penguatkuasaan bersepadu bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti risikan, rondaan kawasan 'hotspot' dan pemantauan udara kawasan berhutan dengan menggunakan helikopter dan dron dalam memantau kawasan pembalakan haram.

"Kita juga menggunakan teknologi terkini melalui aplikasi Sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing Plus 5 (FMRS+5) bagi mengesan perubahan litupan kawasan hutan.

"Sistem ini disokong dengan penggunaan dron yang memberi gambaran kawasan secara 'real time', Geographical Information System (GIS) dan Global Positioning System (GPS)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Xavier Jayakumar (DAP-Kuala Langat) mengenai usaha kementerian untuk mengurangkan pembalakan hutan dan apakah usaha diambil untuk mempromosikan pokok negara 'Merbau' dalam kalangan rakyat.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Menurutnya, antara usaha diambil ialah menanam pokok Merbau dalam program penanaman pokok di lokasi strategik seperti di kampus Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada 24 Julai dan 18, 25, 26 Ogos lalu serta di kawasan Parlimen pada 3 Disember 2019.

Selain itu, katanya, KeTSA juga akan mempromosikan Pokok Merbau dan pokok warisan dalam Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 2:47 PM