GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jabatan Perhutanan Kelantan (JPNK) komited untuk memastikan semua kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri itu diurus sepenuhnya menerusi amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).

Pengarahnya, Abdul Khalim Abu Samah berkata, keluasan kawasan berhutan di Kelantan sehingga Disember 2020 adalah 767,202.50 hektar di mana 629,880.95 hektar adalah HSK dan selebihnya Hutan Tanah Kerajaan dan Taman Negara.

Katanya, HSK dibahagikan kepada hutan pengeluaran iaitu seluas 468,714.63 hektar (74.41%), manakala hutan perlindungan pula seluas 161,166.32 hektar (25.59%).

"Pengusahasilan hutan atau pembalakan hanya dibenarkan di hutan pengeluaran sahaja, manakala pembalakan di hutan perlindungan tidak dibenarkan.

"Dalam konteks ini, JPNK komited untuk memastikan semua kawasan HSK di Kelantan diurus sepenuhnya di awah amalan PHSB.

"Untuk mencapai matlamat ini, pembalakan di HSK ditentukan berdasarkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan Pengurusan Hutan Memilih dengan had batas tebangan sekurang-kurangnya 60 sentimeter (cm) kaum damar dan 50 cm kaum bukan damar," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Abdul Khalim berkata, pelaksanaan CTT adalah untuk mengimbangi jumlah pengeluaran dan penghasilan kayu dengan keupayaan serta keluasan hutan pengeluaran di dalam HSK.

Menurutnya, dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) menetapkan CTT di Kelantan adalah 5,417 hektar setahun, manakala RMK-12 adalah 3,900 hektar setahun.

"Pembalakan pada RMK-11 iaitu dari 2016 hingga 2020 adalah di antara 25.57 peratus sehingga 58.11 peratus daripada jumlah CTT yang ditetapkan iaitu 5,417 hektar, manakala pembalakan RMK-12 iaitu 2021 hanya 32.74 peratus atau 2,623 hektar daripada 3,900 hektar CTT.

"Berdasarkan kepada CTT itu, keluasan kawasan yang dilesenkan bagi RMK-11 dan RMK-12 di Kelantan adalah lebih rendah berbanding CTT yang ditetapkan," katanya.

Katanya, sektor perhutanan menjadi antara penyumbang keempat kepada hasil negeri iaitu sebanyak 10 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 1:16 PM