GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Wang berjumlah lebih RM28 juta milik sebuah syarikat tempatan nyaris lesap akibat ditipu sindiket menggunakan taktik business email compromise (BEC).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan penipuan itu pada 6 Julai.

"Siasatan mendapati sejak Januari syarikat mangsa yang berpangkalan di Malaysia berurusan dengan sebuah syarikat luar negara untuk mendapatkan bekalan gas petroleum cecair (LPG).

"Pada 24 Jun syarikat (mangsa) menerima emel dari syarikat pembekal yang mengarahkan pembayaran dibuat ke akaun baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, syarikat mangsa hanya menyedari ditipu sindiket apabila syarikat pembekal yang sebenar memaklumkan belum menerima pembayaran terbabit.

"Bertindak atas maklumat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi kewangan berkenaan menjejak wang yang dipindahkan berkenaan.

"PDRM berjaya menyekat sejumlah RM28.36 juta dari dipindahkan ke akaun bank di luar negara," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Ramli mengingatkan orang ramai khususnya ahli perniagaan supaya sentiasa berwaspada ketika berurusan menerusi emel.

"Pastikan emel diterima adalah daripada pembeli atau penjual yang sebenar dan waspada sekiranya terdapat arahan berkaitan perubahan akaun bank bagi tujuan pembayaran.

"Sebaiknya, hubungi syarikat penjual atau pembeli menerusi telefon bagi mendapatkan pengesahan berkenaan perubahan akaun pembayaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 7:58 PM