PESAWAT mendarat di Lapangan Terbang Sandakan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
PESAWAT mendarat di Lapangan Terbang Sandakan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Syarikat penerbangan akan ditambah agar dapat menawarkan pelbagai pilihan dengan kadar tambang lebih berpatutan kepada pengguna.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penambahan itu bakal mewujudkan persaingan seterusnya memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Menurutnya, setakat ini cadangan berkenaan sudah di peringkat penelitian oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan diuruskan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

"Tidak lama lagi kita akan tambah syarikat penerbangan, kita benarkan. Ini sedang diuruskan oleh MAVCOM.

"Hal ini masih belum dapat keputusan penuh kerana tertakluk kepada pemeriksaan rapi oleh CAAM.

"Jadi bila sudah lebih banyak saingan, ia menguntungkan rakyat untuk membuat pilihan," katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Pembesaran Lapangan Terbang Sandakan di Sandakan, hari ini.

Menurutnya, kementerian turut mengalu-alukan mana-mana syarikat penerbangan yang boleh menawarkan kadar tambang rendah untuk beroperasi di negara ini.

Ka Siong berkata, langkah itu diambil susulan rungutan ramai pengguna mengenai harga tiket penerbangan yang sering meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 8:10 PM