KEMALANGAN yang mengorbankan pemandu kereta Proton Wira di Jalan Persisir Pantai Klebang-Limbongan. FOTO Ihsan Bomba
KEMALANGAN yang mengorbankan pemandu kereta Proton Wira di Jalan Persisir Pantai Klebang-Limbongan. FOTO Ihsan Bomba
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang kontraktor terbunuh selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah lori di Jalan Persisir Pantai Klebang-Limbongan, di sini, petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Amran @ Mohamad Zaki Omar berkata, kejadian berlaku kira-kira 2 petang membabitkan kereta Proton Wira dengan lori Hino.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori itu dari arah Bulatan Klebang menghala ke lampu isyarat Encore, manakala kereta dipandu Haliman Tukimon, 53, dari arah Jalan Limbongan Lama menuju Jalan Persisir Pantai.

"Ketika tiba di lampu isyarat, lori bergerak lurus dan tiba-tiba kereta mangsa keluar dari persimpangan hingga berlaku perlanggaran di sisi kanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pelanggaran itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk dalam keretanya yang remuk.

"Mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 57 tahun tidak cedera.

"Mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan bedah siasat dilakukan esok selepas ujian Covid-19," katanya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 10:31 PM