KEADAAN kereta terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


LELAKI maut selepas kereta dipandunya bertembung sebuah lori dan merempuh kereta lain dalam kemalangan di Jalan Transperak, dekat Changkat Lada, di Kampung Gajah, hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa, pemandu Toyota Vios, Tan Boon Kiat, 28, yang beralamat di Changkat Jong, Teluk Intan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan bahagian kepala.

Dua lagi pemandu kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata kemalangan itu membabitkan kereta Toyota Vios, Perodua Myvi dan lori jenis Hino.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa kedua-dua kereta berkenaan dalam perjalanan menuju Kampung Gajah dari arah Jejawi, manakala lori pula dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Toyota Vios berkenaan dikatakan cuba memotong Perodua Myvi tetapi tidak sempat masuk ke laluannya semula lalu bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu kereta berkenaan berpusing lalu langgar melanggar kereta Myvi,” katanya ketika dihubungi di Kampung Gajah, hari ini.

Mohammad Zainal berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 3:14 PM