Kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 287.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran susur keluar  ke Plaza Tol Simpang Pulai. FOTO Ihsan Bomba.
Kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 287.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Simpang Pulai. FOTO Ihsan Bomba.
Muhammad Apendy Issahak


Lelaki maut selepas lori dipandu merempuh belakang sebuah lori syarikat kawalan keselamatan di Kilometer 287.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang Pulai, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu, S Kalaiarasu, 20, beralamat di Taman Dindings, Ayer Tawar, Manjung, meninggal dunia di tempat kejadian, sementara itu kelindannya Palani Deena, 18, parah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kemalangan membabitkan lori jenis Isuzu dan Hino.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori dipandu mangsa melanggar bahagian belakang sebuah lagi lori hingga terheret ke lorong kanan jalan lalu melanggar pembahagi jalan besi di lorong kanan.

“Akibat kemalangan itu pemandu berusia 20 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala kelindannya cedera di tangan dan kaki. Mangsa kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pemandu sebuah lagi lori, lelaki berusia 29 tahun beralamat di Taman Klebang Putra, Chemor, hanya luka kecil di bibir.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB dan sudah selesai dibedah siasat. Mayat mendiang kemudian diserahkan kepada waris.

“Punca kematian adalah kecederaan pada dada dan kepala, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 3:10 PM