Siti Aminah Mohd Yusof


Bayan Lepas: Empat daripada lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berimpak tinggi dengan keseluruhan kos bernilai RM150 juta sudah disiapkan di Pulau Pinang setakat ini.

Ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri mengurangkan 80 peratus di 63 lokasi berisiko banjir di Pulau Pinang menjelang 2030.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, terkini ia membabitkan pembinaan dua rumah pam masing-masing dengan kapasiti enam dan tujuh meter padu sesaat bernilai RM16.5 juta di lembangan Sungai Nipah, Taman Iping di sini, yang membabitkan 2,000 penduduk meliputi kawasan 3.2 kilometer persegi.

CHOW Kon Yeow (tengah) meninjau rumah pam selepas merasmikan Rumah Pam Taman Iping, di sini, hari ini. FOTO Mikail Ong
CHOW Kon Yeow (tengah) meninjau rumah pam selepas merasmikan Rumah Pam Taman Iping, di sini, hari ini. FOTO Mikail Ong

"Projek yang direka bentuk pada tahap perlindungan banjir 20 tahun Purata Selang Ulangan (ARI) berkenaan sudah dimulakan pada 2018 namun terganggu akibat pandemik Covid-19 dan akhirnya berjaya disiapkan serta dapat beroperasi sejak Mac lalu.

"Dalam hal ini, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan Saliran (JPS) selaku agensi pelaksana turut menyiapkan RTB Parit 4, RTB Parit 5 di Seberang Perai Tengah dan RTB Mak Mandin di Butterworth," katanya selepas merasmikan Rumah Pam Taman Iping di sini, hari ini.

Chow berkata, satu lagi projek RTB Bayan Baru dijangka selesai dalam masa terdekat, manakala RTB Sungai Tiram dan Kolam Takungan Alma masih dalam fasa pembinaan selain RTB Permatang Rawa yang kini di peringkat proses reka bentuk semula.

"Selain itu, pelaksanaan Projek Tebatan Banjir (PTB) Van Praagh dan PTB Parit Monsun Kampung Pokok Assam di Timur Laut baru dimulakan pada 1 Jun lalu.

"PTB Taman Tembikai di Seberang Perai Tengah akan ditender dalam masa terdekat dengan tiga projek PTB ini menggunakan peruntukan pembangunan negeri dan peruntukan amanah caruman perparitan," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana meluluskan projek RTB Sungai Pinang di Timur Laut, RTB Taman Siakap di Seberang Perai Tengah serta RTB Sungai Kecil di Seberang Perai Selatan dan berharap pelaksanaannya dapat dimulakan tahun ini.

"Masih terdapat beberapa projek RBT yang masih dalam peringkat kajian dan reka bentuk menggunakan peruntukan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang sedang dilaksanakan JPS serta kita berharap ia dapat dilengkapkan mengikut jadual dan disusuli dengan peringkat pembinaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 12:47 PM