BERNAMA

Georgetown: Pulau Pinang kini merupakan negeri pertama di wilayah utara yang mempunyai rangkaian spektrum 5G.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata menerusi Pelan Pelaksanaan 5G di Pulau Pinang Fasa 1 oleh pihak Digital Nasional Berhad (DNB), sebanyak 151 tapak telah dikenal pasti bagi memancarkan spektrum 5G di kawasan pulau tahun ini.

"Daripada 151 tapak tersebut, sebanyak 58 struktur telekomunikasi 5G baharu akan didirikan dan baki 93 struktur adalah penaiktarafan daripada struktur komunikasi sedia ada," katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran Rangkaian 5G di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi perancangan tahun 2023, melalui pelan pelaksanaan fasa dua, sebanyak 235 struktur komunikasi bertaraf 5G akan didirikan di kawasan Seberang Perai dan tambahan 77 lagi di kawasan pulau di daerah Timur Laut.

Chow berkata sebagai langkah menuju ke arah 5G bermula tahun 2020, Pulau Pinang telah dipilih sebagai satu daripada enam buah negeri di Malaysia untuk melaksanakan projek Demonstrasi 5G (5GDP).

"Sebanyak tujuh syarikat telekomunikasi telah dipilih untuk melaksanakan 19 kes penggunaan di Pulau Pinang dengan anggaran kos sebanyak RM23.2 juta yang merangkumi lima bidang iaitu, pertanian, pendidikan, negeri pintar, industri pembuatan dan pelancongan," katanya.

CHOW Kon Yeow (tengah) menunjukkan telefon bimbit pada majlis Pelancaran Rangkaian 5G di negeri Pulau Pinang (5G@PENANG) di Wisma UAB, Gat Lebuh China. FOTO Mikail Ong
CHOW Kon Yeow (tengah) menunjukkan telefon bimbit pada majlis Pelancaran Rangkaian 5G di negeri Pulau Pinang (5G@PENANG) di Wisma UAB, Gat Lebuh China. FOTO Mikail Ong

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 6:15 PM