Hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan beberapa jalan  utama berhampiran Jalan P Ramlee, Pulau Pinang, dilanda banjir kilat.  - Foto AMIR IRSYAD OMAR
Hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan beberapa jalan utama berhampiran Jalan P Ramlee, Pulau Pinang, dilanda banjir kilat. - Foto AMIR IRSYAD OMAR
BERNAMA

Georgetown: Banjir kilat melanda beberapa kawasan di negeri ini hari ini, berpunca daripada limpahan air sungai di pulau dan tanah besar berikutan hujan lebat, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, antara sungai terbabit ialah Sungai Jelutong dan Sungai Pinang di pulau manakala di tanah besar, Sungai Mak Mandin/Sungai Perai, Sungai Lahar Endin dan Sungai Permatang Rawa.

Katanya kebanyakan kawasan yang dilanda banjir kilat disebabkan parit di kawasan perumahan tidak dapat menampung air larian yang berkapasiti tinggi.

"Kebanyakan kawasan yang terbabit adalah kawasan rendah dan terdedah kepada risiko banjir. Air laut dilaporkan surut pada 1.1 meter hingga 1.5 meter dan mencatatkan tahap maksimum pada pukul 12.15 tengah hari pada ketinggian 2.3 meter," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Antara kawasan yang dinaiki air berikutan hujan lebat yang melanda Pulau Pinang pagi ini ialah Jalan P Ramlee, Jalan Langkawi, Jalan Gemas dan Dhobby Ghaut.

Di Seberang Perai, kawasan yang terbabit ialah Jalan Thambi Kechil, Kampung Lahar Mati, Jalan Mak Mandin, Petronas Permatang Rawa dan Jalan Pintas ke Sungai Permatang Rawa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 7:36 PM