LAKARAN lukisan Pusat Transit Gelandangan. FOTO BERNAMA
LAKARAN lukisan Pusat Transit Gelandangan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

PULAU Pinang akan membina Pusat Transit Gelandangan bagi membendung dan menangani isu gelandangan yang dilihat semakin berleluasa di negeri itu, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, projek pertama yang berkonsepkan Triple Net Zero itu akan dibina di tapak berkeluasan 1,370 meter persegi di Jalan C.Y Choy di Georgetown milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Projek transit itu dilaksanakan berdasarkan program “Empowering The Streets Citizens” yang dicadangkan pada 2016 oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh.

Chow berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, sepanjang tahun 2019 sebanyak 458 Operasi Pengemis/Kutu Rayau dijalankan iaitu di Timur Laut membabitkan 152 operasi, Barat Daya (103), Seberang Perai Utara (89), Seberang Perai Tengah (47) dan Seberang Perai Selatan (67).

“Bagi tempoh sama (Januari-Disember 2019), sebanyak 592 pengemis atau pelesir yang terdiri daripada warga tempatan dan bukan warga negara berjaya diselamatkan,” katanya pada majlis pecah tanah projek pusat transit gelandangan itu, hari ini.

Chow berkata, kerajaan negeri berharap projek perintis itu nanti berjaya membendung masalah gelandangan berkeliaran yang sering dikaitkan dengan isu kebersihan, keselamatan dan masalah sosial lain sehingga menjejaskan imej Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 2:49 PM