Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Mana-mana bekas Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal sebelum atau selepas berkuat kuasa pindaan Perlembagaan Negeri, disahkan tidak boleh dilantik semula untuk menjawat jawatan itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow memaklumkan, Perkara 7 Fasal 2 (a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan Ketua Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan individu yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan itu bagi dua penggal.

"Saya katakan undang-undang itu jelas dan ia bukan sahaja mengikat saya pada masa hadapan tetapi (turut) mengikat mana-mana Ketua Menteri yang telah berkhidmat selama dua penggal pada bila-bila masa.

"Peraturan utama dalam mentafsir Perlembagaan ialah apabila bahasa yang digunakan adalah jelas, (justeru) kesan mesti diberi kepadanya dan tiada pertimbangan luar perlu dirujuk untuk membantu mencari maksud dalam mentafsir Perlembagaan itu.

"Jadi ini kesimpulan yang boleh kita sampaikan kepada rakyat atau pihak yang tidak pasti dan kita pun selalu mendapat pertanyaan mengenai isu ini," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini.

Rabu lalu, sebuah portal berita menyiarkan laporan bertajuk 'Ada desakan dalam DAP tukar Chow, Lim kembali jadi KM P Pinang' namun laporan terbabit sudah ditarik balik pada hari yang sama.

Kemudian, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk Adun Air Putih Lim Guan Eng, yang tidak menjawat jawatan dalam kerajaan negeri menafikan terbabit dalam desakan menyekat Kon Yeow sebagai Ketua Menteri selepas pilihan raya negeri (PRN).

Chow Kon Yeow (tengah) ditemui media ketika Sesi Taklimat Kepada Peniaga Bagi Projek Menaiktaraf Tapak Penjaja Lebuh Kurau 5 Taman Chai Leng di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng, Perai di sini. FOTO DANIAL SAAD
Chow Kon Yeow (tengah) ditemui media ketika Sesi Taklimat Kepada Peniaga Bagi Projek Menaiktaraf Tapak Penjaja Lebuh Kurau 5 Taman Chai Leng di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng, Perai di sini. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 2:35 PM