GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Warga emas mempunyai masalah ingatan yang dilaporkan hilang Jumaat lalu selepas keluar bersama anak tirinya yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemukan selamat di Serdang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki tempatan berusia 74 tahun itu dipercayai menaiki sebuah kereta bersama anak tirinya berusia 20 tahun yang menghidap sindrom Down.

Menurutnya, seorang lagi anak tiri mangsa yang menyedari kehilangan mereka cuba mencari bapa tiri dan adik perempuannya itu di kawasan berhampiran sebelum tampil membuat laporan jam 5.30 petang.

"Pengadu memaklumkan bapa tirinya yang mempunyai penyakit amnesia sering keluar dari rumah dan kebiasaannya akan dihantar balik oleh orang awam atau kenalan yang mengenali keluarga mereka jika terjumpa merayau.

"Pengadu juga dikatakan mencari orang hilang di serata tempat yang pernah dilawati tetapi tidak menjumpai sebelum ke Balai Polis Ampang untuk membuat laporan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bapa dan anak itu ditemukan oleh orang awam di Ladang Tembikai Susu di Serdang jam 12 tengah hari ini dan dihantar ke Balai Polis Taman Tun Doktor Ismail untuk tindakan lanjut.

"Pengadu sudah dimaklumkan perkara itu dan ke balai polis berhampiran untuk pembatalan laporan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 2:48 PM