NANTA (kiri, depan) meninjau harga barangan sempena pelaksanaan SHMMP Hari Gawai di Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
NANTA (kiri, depan) meninjau harga barangan sempena pelaksanaan SHMMP Hari Gawai di Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengalu-alukan cadangan Sarawak untuk mengeksport ayam berikutan lebihan bekalan ternakan itu di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan itu sesuatu yang baik dan perlu dilakukan khususnya bagi meningkatkan industri penternakan.

Bagaimanapun katanya, bekalan tempatan harus dijamin sentiasa mencukupi kerana keutamaan harus diberikan kepada pengguna tempatan.

"Kalau benar (bekalan lebih daripada cukup) dan kalau boleh (kuantiti) untuk eksport, kenapa tidak?

"Cuma janganlah (jika) kita dalam situasi bekalan dalaman tidak cukup, tetapi mengeksport pula... itu kita larang.

"Kalau ada lebihan bekalan (ayam) untuk dieksport, kenapa tidak dilakukan kerana ia baik untuk industri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai di CCK Fresh Mart, Stutong, di sini, hari ini.

Nanta berkata, dalam sesi libat urus bersama pemain industri penternakan ayam di sini semalam, beliau turut diberi jaminan bekalan ayam di Sarawak tidak menghadapi masalah.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak 23 Mei lalu, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah negeri Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dipetik berkata, Sarawak tidak menghadapi masalah bekalan ayam berikutan pengeluaran sara diri untuk negeri ini sudah melebihi 100 peratus.

Malah katanya, kerajaan Sarawak kini berusaha membantu penternak untuk terus mengembangkan lagi industri penternakan ayam bagi membolehkan Sarawak mengeksport ayam.

Untuk rekod, ketika ini Sarawak mengeksport daging babi dan ikan tilapia ke Singapura.

Sementara itu, mengulas tinjauan SHMMP itu, Nanta berkata, beliau berpuas hati apabila peniaga menjual barangan pada harga rendah berbanding harga siling.

Harga ayam standard misalnya dijual pada harga RM8.99 sekilogram berbanding harga siling RM9.30.

Menurutnya, selain ayam dan telur, sebanyak lapan barangan dikawal harga sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Gawai iaitu ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih China, kobis bulat import, cili kering, babi hidup (ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

SHMMP Hari Gawai dilaksanakan selama tujuh hari bermula hari ini hingga 4 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 4:31 PM