Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pemilik pusat beli belah dan pasar raya perlu memainkan peranan untuk memastikan pelanggan mematuhi tempoh masa dua jam pembelian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerjasama itu akan memudahkan aktiviti pemantauan dilaksanakan agar masyarakat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah pasti tidak mampu menjalankan pemantauan semua premis perniagaan seluruh negara.

"Kementerian sarankan pemilik premis untuk menjalankan pemantauan dan mengingatkan pelanggan supaya tidak melebihi dua jam untuk membeli belah dengan merujuk kepada aplikasi MySejahtera.

"Dengan jumlah anggota yang terhad sudah pasti KPDNHEP tidak boleh lakukan pemantauan di semua premis.

Pusat beli belah KLCC. FOTO Aswadi Alias
Pusat beli belah KLCC. FOTO Aswadi Alias

"Pengguna juga perlu ada kesedaran kendiri untuk pastikan mereka patuh SOP ditetapkan bagi mengekang Covid-19," katanya dalam sidang media pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Keamaatan dan Hari Gawai secara maya, hari ini.

Semalam, Alexender memaklumkan tempoh masa pelanggan dalam premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan maksimum dua jam mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sektor perdagangan pengedaran berkuat kuasa esok.

Mengulas lanjut, Alexender berkata, SHMMP Pesta Keamaatan akan bermula Khamis ini sehingga 2 Jun manakala SHMMP Hari Gawai pula akan bermula Jumaat ini sehingga 3 Jun depan.

"Kementerian ini mengenal pasti sebanyak 11 jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP ini terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan babi.

"Pemantauan akan dilaksanakan sepanjang SHMMP dilaksanakan bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga dan membebankan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 1:08 PM