TINJAUAN harga ayam di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
TINJAUAN harga ayam di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
BERNAMA

Putrajaya: Langkah intervensi kerajaan menetapkan harga runcit bagi ayam standard pada RM8.90 berkuat kuasa Sabtu ini hingga 5 Jun dapat menjamin kestabilan harga ayam dan harga makanan berkaitan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan tidak melaksanakan langkah itu, harga runcit ayam di pasaran pada masa ini akan melebihi RM10 sekilogram susulan peningkatan kos penternakan ayam sebanyak 70 peratus.

"Dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan pada 31 Januari lalu, mesyuarat sudah diberikan taklimat berkenaan industri pengeluaran ayam dan telur yang menerima impak kenaikan mendadak kos input makanan jagung dan soya.

"Berikutan peningkatan kos pengeluaran, maka pihak industri telah mengemukakan kepada kerajaan supaya harga kawalan dinaikkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan harga runcit maksimum bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan, selepas mempengerusikan Mesyuarat NACCOL.

Nanta berkata, harga siling runcit ayam bagi Labuan, Sabah dan Sarawak pula akan dibuat berdasarkan lokasi.

Beliau berkata, harga runcit itu adalah penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 sekilogram ketika Deepavali lalu, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) (7 hingga 31 Disember lalu) dan RM9.10 ketika (SHMKM) (1 hingga 4 Februari).

"Penetapan harga baru runcit ayam ini ditampung melalui subsidi kerajaan sehingga kos pengeluaran ayam kembali rendah dan stabil," katanya.

Nanta berkata, pihaknya sentiasa menyokong langkah proaktif kerajaan bagi memastikan Dasar Sekuriti Makanan Negara sentiasa terjamin dari segi bekalan serta mengelak berlaku kenaikan harga yang membebankan rakyat.

Katanya, hasil Mesyuarat Taskforce Pelaksanaan mengenai pelan tindakan jangka panjang berkaitan bekalan makanan yang akan dipengerusikan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak lama lagi akan dilaporkan ke Mesyuarat NACCOL akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 12:10 PM