Noor Hidayah Tanzizi

Pasir Salak: Tiga taman asuhan kanak-kanak (taska) yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak ditutup berikutan wabak penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) setakat minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, ia membabitkan dua taska di Hulu Perak dan satu di Manjung.

"Memang ada taska yang mempunyai kes positif (HFMD), berdasarkan rekod daripada JKM ada tiga taska yang berdaftar ditutup. Taska di Hulu Perak dahulu yang tutup dan terbaru di Manjung pada minggu lalu.

"Bagaimanapun setakat ini semua taska yang berdaftar di bawah JKM adalah terkawal dan kita juga sentiasa memberikan pendedahan mengenai penjagaan kebersihan kepada anak dan juga pengasuh taska," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jelajah Kasih Keluarga Malaysia Sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Perak di Padang Kampung Chenderong Kelubi, Kampung Gajah di sini, hari ini.

DATUK Dr Wan Norashikin Wan Noordin (dua kiri) beramah mesra dengan komuniti Orang Asli pada program Jelajah Kasih Keluarga Malaysia di Padang Kampung Chenderong Kelubi, Kampung Gajah, Pasir Salak. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
DATUK Dr Wan Norashikin Wan Noordin (dua kiri) beramah mesra dengan komuniti Orang Asli pada program Jelajah Kasih Keluarga Malaysia di Padang Kampung Chenderong Kelubi, Kampung Gajah, Pasir Salak. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

Dr Wan Norashikin berkata, JKM Perak mengenal pasti sebanyak 46 taska di negeri ini yang masih belum berdaftar dengan agensi itu.

Menurutnya, mengikut rekod JKM sehingga April lalu, terdapat 239 taska yang berdaftar dengan agensi berkenaan.

"JKM sudah mengenalpasti taska yang masih belum mendaftar dengan agensi itu di setiap daerah dan mereka akan diminta melakukan proses itu. Ini juga termasuk rumah anak yatim dan rumah penjagaan warga emas.

"Pengusaha disaran mendaftar dengan JKM bagi memudahkan sebarang urusan dan mengelakkan sebarang masalah termasuk seperti berlakunya wabak berkenaan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 42 buah tadika di negeri ini ditutup berikutan peningkatan kes penyakit HFMD pada minggu epidemiologi ke-19 (ME19) antara 8 hingga 14 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 4:36 PM