GAMBAR tular seorang bayi lelaki yang dicampak ke atas bumbung sebuah rumah teres di Taman Seri Dermawan. FOTO ihsan Pembaca
GAMBAR tular seorang bayi lelaki yang dicampak ke atas bumbung sebuah rumah teres di Taman Seri Dermawan. FOTO ihsan Pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


WARIS bayi lelaki yang dicampak ke atas bumbung sebuah rumah teres di Taman Seri Dermawan, Bercham dekat Ipoh pada 18 Julai lalu mahu menjaga bayi berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, bagaimanapun permohonan itu perlu melalui beberapa proses ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum bayi itu diserahkan kepada waris.

"Bayi terbabit masih berada di hospital dan dalam pemantauan pihak kesihatan, namun keadaannya sudah stabil. Saya difahamkan keluarga bayi itu ada memohon untuk menjaganya.

"Bagaimanapun JKM akan meneliti permohonan berkenaan mengikut kesesuaian untuk diserahkan atau tidak dengan perlu melalui pelbagai proses seperti perintah mahkamah," katanya pada Program Aidiladha bersama rakyat di Kampung Pasir Putih, Kampung Gajah, hari ini.

DATUK Dr Wan Norashikin Wan Noordin (dua kanan) menyerahkan dua daripada lima lembu korban untuk Dewan Undangan Negeri (Dun) Kampung Gajah. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
DATUK Dr Wan Norashikin Wan Noordin (dua kanan) menyerahkan dua daripada lima lembu korban untuk Dewan Undangan Negeri (Dun) Kampung Gajah. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Menurutnya, ada beberapa aspek yang perlu diteliti untuk menyerahkan bayi berkenaan walaupun kepada warisnya sendiri.

"Kalau sesuai kita akan serahkan, kalau tidak sesuai banyak perkara (perlu diteliti seperti) persekitaran (dan) hubungan.

"Biasanya untuk kes seumpama itu (bayi) akan ditempatkan di rumah kanak-kanak di bawah seliaan JKM sehingga semua perkara selesai termasuk mengenai masa depan bayi," katanya.

Media sebelum ini melaporkan bayi itu dipercayai dicampak ibunya dari tingkap bilik yang terletak di belakang rumah jiran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 1:55 PM