Noor Hidayah Tanzizi


Pasir Salak: Polis mengingatkan penduduk dari luar mukim di empat lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di sini, supaya tidak mencuri masuk ke kawasan berkenaan walaupun hanya melihat dusun durian.

Peringatan itu juga untuk penduduk di lokaliti berkenaan membabitkan Kampung Biak Hilir, Mukim Bandar serta Kampung Biak Darat, Kampung Biak Daroh dan sebahagian Kampung Pasir Salak, Mukim Pasir Salak.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Barudin Wariso berkata, sebarang pergerakan keluar dan masuk ke empat lokaliti berkenaan tidak dibenarkan bermula tengah malam tadi hingga 13 Ogos ini.

Menurutnya, susulan itu, polis sudah mengenal pasti lebih 14 laluan tikus di kawasan berkenaan dan akan melakukan rondaan serta pemantauan di lokasi berkenaan bagi mengelak ada yang curi keluar atau masuk melalui laluan itu.

"Sebanyak empat laluan yang boleh dilalui kereta ditutup dengan kawad duri, manakala lebih 10 lagi laluan termasuk di ladang dan dusun durian serta sawit yang boleh dilalui dengan motosikal juga sudah dikenal pasti dan kita akan sentiasa membuat rondaan secara berkala di situ.

"Penduduk juga tidak dibenarkan ke dusun dalam tempoh 14 hari dan ia juga termasuk untuk orang luar (kawasan dikenakan PKPD). Polis melakukan sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama iaitu di Jalan Datuk Maharaja Lela, Kampung Pasir Salak," katanya.

Beliau berkata demikian pada penyerahan barang makanan kepada penduduk PKPD di lokaliti itu yang disampaikan Ahli Dewan Undangan (Adun) Kampung Gajah Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin di Pejabat Penghulu Mukim Pasir Salak, di sini, hari ini.

Dr Wan Norashikin (dua kiri) menyerahkan sumbangan barangan basah kepada penduduk. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Dr Wan Norashikin (dua kiri) menyerahkan sumbangan barangan basah kepada penduduk. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Barudin berkata, seramai lebih 40 anggota polis akan bertugas setiap hari dengan tiga kenderaan polis turut membuat rondaan 24 jam terutama di laluan tikus yang dikenal pasti sepanjang PKPD berlangsung.

Katanya, pihaknya juga dibantu pelbagai agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Sebarang urusan kecemasan yang memerlukan pergerakan keluar (perlu) mendapat (kebenaran) polis dan kita menyediakan pos kawalan di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, Dr Wan Norashikin juga Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri berkata, pusat khidmatnya mengagihkan 104 bungkusan barang basah seperti ayam, sayuran, bawang, mi kuning dan bebola ikan kepada 104 keluarga membabitkan 398 orang di empat lokaliti berkenaan.

Menurutnya, setiap bungkusan barangan basah berkenaan bernilai RM50 dan ia akan diagihkan setiap dua hari sekali atau tujuh kali sepanjang 14 hari tempoh PKPD dilaksanakan.

"Bantuan barang basah ini adalah pelengkap keperluan makanan kering yang diberikan dan ini adalah inisiatif kita (pusat khidmat Adun) untuk membantu penduduk di kawasan berkenaan.

"Bekalan barangan basah ini tidak semestinya sama dan ia akan berubah seperti kita bagi ikan atau seekor ayam. Kita akan salurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ia akan diagihkan oleh APM," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 6:34 PM