Noor Hidayah Tanzizi

Pasir Salak: Lebih 70 peratus institusi keluarga di negara ini berhadapan tekanan kewangan dan konflik keluarga yang tinggi sepanjang pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Abdul Shukor Abdullah berkata, dapatan itu diperoleh hasil kajian kesejahteraan diri yang dilakukan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya, sebanyak 43.9 peratus responden memaklumkan mereka mengalami tekanan kewangan, manakala 32.2 peratus berhadapan konflik keluarga yang tinggi.

Katanya, kajian impak Covid-19 ke atas keluarga berpendapatan rendah di bandar oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) juga mendapati 30 peratus isi rumah sukar mendapat akses perkhidmatan kesihatan.

"Secara keseluruhannya institusi keluarga pada waktu itu menghadapi masalah berkaitan konflik keluarga dan tekanan kewangan.

"LPPKN melalui peruntukan diberikan kerajaan pada Bajet 2022 berusaha dalam melaksanakan program (terutama) berkaitan pengurusan tekanan di kalangan ahli keluarga dan remaja bersama badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Kasih Keluarga Malaysia Sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Perak di Padang Kampung Chenderong Kelubi, Kampung Gajah di sini, hari ini.

ABDUL Shukor (kiri) pada program Jelajah Kasih Keluarga Malaysia. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
ABDUL Shukor (kiri) pada program Jelajah Kasih Keluarga Malaysia. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 5:19 PM