PENDUDUK dan nelayan darat membantah aktiviti perlombongan di Kampung Air Kuning, Kampung Gajah. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
PENDUDUK dan nelayan darat membantah aktiviti perlombongan di Kampung Air Kuning, Kampung Gajah. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Kampung Gajah: Aktiviti perlombongan dipercayai bijih dan pasir yang bermula sejak dua bulan lalu di Kampung Air Kuning, di sini, dikhuatiri akan menjejaskan pendapatan lebih 80 nelayan darat.

Aktiviti berkenaan didakwa diusahakan empat syarikat yang mendapat lesen menjelajah di kawasan seluas 566 hektar meliputi tanaman sawit dan perairan umum iaitu bekas lombong serta Sungai Kinta.

Yang Dipertua Persatuan Nelayan Ikan Air Tawar (Peniat) Kampung Gajah, Sairul Nizam Mohamad Saleh berkata, aktiviti perlombongan itu dikhuatiri menjejaskan pendapatan nelayan darat termasuk Orang Asli membabitkan My Komuniti Perikanan (MyKP) Sungai Galah, Air Kuning dan Chenderong Kelubi.

"Kita bimbang sekiranya ia akan mengganggu ekosistem dan boleh menyebabkan aliran air sungai terganggu. Lombong di sini bercantum antara satu sama main, jika ada aktiviti (melombong) aliran akan terganggu dalam jangka masa panjang.

"Selain itu, kita juga bimbang jika nelayan dan orang kampung sudah tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan. Setakat ini, memang tiada larangan mencari ikan di kawasan sekitar tetapi untuk hari akan datang kita belum pasti," katanya ketika ditemui.

Katanya, ia juga memberi kesan kepada pekebun sawit dan penternak lembu yang menyukarkan aktiviti mereka kerana laluan ke kebun ditutup.

"Ketika ini pendapatan nelayan berkurangan, jika sebelum ini boleh dapat RM100 sehari tetapi sekarang sekitar RM30-RM60 saja. Kita bimbang jika aktiviti diteruskan ia akan terus menjejaskan pendapatan nelayan darat.

"Justeru kita sudah buat bantahan secara lisan mengenai perkara ini kepada pihak berkenaan dan berharap mereka dapat melihat semula supaya ekosistem serta sumber nelayan darat tidak terjejas," katanya yang akan membuat surat bantahan secara rasmi dalam masa terdekat.

Penduduk dan pekebun, Shuhaini Abdul Shukor, 44, mendakwa beberapa tahun sebelum ini mereka pernah memohon untuk mengusahakan kawasan berkenaan bagi aktiviti pertanian, namun ia ditolak pihak berkenaan atas alasan ia adalah rizab pulau burung.

"Tetapi kenapa ketika ini ada pihak melakukan aktiviti perlombongan di situ. Itu yang kami hairan. Kita harap pihak berkaitan dapat melihat perkara ini, bantu kami penduduk asal di sini," katanya memaklumkan aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan sudah dihentikan sejak 1996.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin ketika dihubungi berkata, pihaknya difahamkan anak syarikat kerajaan negeri sudah meluluskan kuasa cari gali kepada empat syarikat di kawasan terbabit.

"Semalam kami sudah buat perjumpaan bersama pihak yang terbabit. Kita dimaklumkan penduduk Kampung Sungai Galah, Air Kuning dan persatuan nelayan darat tidak berpuas hati kerana mereka tidak dibenarkan masuk mengambil hasil oleh syarikat yang dilantik pihak berkenaan.

"Kita berharap pihak berkenaan dan syarikat itu dapat mencari jalan terbaik bagi kepentingan bersama. Kita juga akan mengadakan pertemuan bersama Pejabat Tanah dan pihak anak syarikat berkenaan bagi menyelesaikan masalah yang timbul ini, selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 12:14 PM