Siti Rohana Idris


Tumpat: "Sepanjang tujuh hari sesat dalam hutan, saya sentiasa selawat dan yang peliknya, tak pernah rasa lapar walaupun hanya mengalas perut dengan air sahaja," kata Yaakub Ismail, yang hilang di dusun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun, Jeli.

Yaakub, 76, yang hilang sejak Khamis lalu, ditemukan selamat oleh penduduk kampung pada jam 6.45 petang kelmarin.

Yaakub berkata, walaupun tidak berasa takut dan lapar, dia sentiasa berdoa supaya ditunjukkan jalan pulang kerana sudah berasa terlalu letih disebabkan sering berjalan.

"Sampai satu tahap di mana saya berasa hampir putus asa dan 'menyeru' harimau supaya muncul dan bantu tunjukkan jalan untuk pulang walaupun merasakan cara itu berisiko jika 'raja hutan' itu betul-betul muncul.

"Letih kerana sebaik menjelang siang, saya akan mula berjalan mencari jalan keluar dan hanya berehat apabila malam sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berangan Masjid, di sini, semalam.

Bercerita bagaimana dia boleh tersesat, Yaakub berkata, dia pergi ke kebun itu bersama dua anaknya dan ingin melihat sekitar tanahnya seluas 4.8 hektar yang hampir keseluruhan ditanam dengan buah-buahan.

Sudah bertani di tanah itu sejak 30 tahun lalu, Yaakub tidak menyangka bahawa 'pemantauannya' kali ini berlaku insiden kerana dia yang membawa beberapa pokok durian jenis Musang King di tangan untuk ditanam ketika itu mula berjalan melihat kawasan sekitar.

"Ketika itu jam menunjukkan 11 pagi dan saya berjalan melihat-lihat kawasan berseorangan dan tanpa disangka langkah semakin jauh sehingga ke jalan yang ditumbuhi rumput namun hati masih lagi ingin meneruskan perjalanan.

"Sehinggalah saya sampai di kaki bukit dan ketika melihat jam di tangan, ia menunjukkan sudah 2 petang menandakan sudah lama saya berjalan dan ketika itu baru sedar sudah tersesat," katanya.

Terdahulu, Yaakub dikunjungi Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang bertanya khabar dan pengalaman warga emas itu sepanjang berada dalam hutan.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dengan hanya membawa golok, dia berjalan meredah hutan dan terjumpa sebuah bangsal sebelum berehat kerana hari sudah menjelang malam.

Kata pesara kakitangan kerajaan itu lagi, nasibnya malang kerana telefon bimbit yang dibawa hilang manakala golok juga terjatuh dalam air terjun ketika dia ingin membersihkan diri malah hampir lemas ketika itu.

"Seluar saya habis terkoyak kerana terkena duri pokok rotan dan terkilan kerana sepanjang sesat itu saya tidak dapat menunaikan solat disebabkan pakaian sebegitu namun sebaik tiba di rumah, saya ganti solat.

"Perasaan takut langsung tiada cuma cuak juga kerana pada waktu malam kerap diganggu bunyi babi hutan malah terserempak dengan tompokan najis gajah.

"Bagaimanapun petang Rabu lalu, sebaik terdengar sayup-sayup suara penduduk kampung mencari saya, rasa sangat lega. Saya terus dibawa mereka dengan motosikal dan alangkah terkejutnya sebaik tiba, sangat ramai yang menyambut ketibaan," katanya sambil memberitahu tidak serik untuk kembali ke kebunnya tapi tidak akan berjalan berseorangan.

ANAK kepada Yaakub Ismail, 76 menunjukkan kecederaan tangan dialami bapanya selepas sesat tujuh hari di kebun buah miliknya di Kampung Pasir Dusun, Jeli. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ANAK kepada Yaakub Ismail, 76 menunjukkan kecederaan tangan dialami bapanya selepas sesat tujuh hari di kebun buah miliknya di Kampung Pasir Dusun, Jeli. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 11:46 AM