Polis bersama pasukan keselamatan yang lain dalam operasi mencari dan menyelamat warga emas, Yaakub Ismail, 76, yang dikhuatiri hilang di dalam dusun di Kampung Pasir Dusun, di sini, sejak Khamis lalu. FOTO  IHSAN POLIS.
Polis bersama pasukan keselamatan yang lain dalam operasi mencari dan menyelamat warga emas, Yaakub Ismail, 76, yang dikhuatiri hilang di dalam dusun di Kampung Pasir Dusun, di sini, sejak Khamis lalu. FOTO IHSAN POLIS.
Hidayatidayu Razali


Jeli: "Saya harap ayah ditemukan dalam masa terdekat memandangkan sudah empat hari hilang di dusun," kata Mohd Sufian Yaakub, 49.

Mohd Sufian anak kepada warga emas, Yaakub Ismail, 76, yang hilang di dusun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun, di sini, 3.30 petang Khamis lalu.

Menurutnya, bapanya yang juga pesara kerajaan ke dusun berkenaan pada 8.30 pagi Khamis lalu dengan menaiki pacuan empat roda Daihatsu Feroza untuk membersihkan kawasan terbabit.

"Ayah keluar rumah di Kampung Berangan Masjid, dekat Tumpat untuk ke dusun miliknya di Jeli, manakala saya dan abang (Mohd Abdul Fattah, 53) bergerak pada 10.30 pagi.

"Kami sampai 12.30 tengah hari dan melihat kenderaan ayah ada di hadapan dusun. Saya beranggapan ayah ada di lokasi itu dan meneruskan kerja membersihkan dusun," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, lebih kurang 3.30 petang, ketika mahu pulang, mereka mendapati bapanya tiada di dusun dan berusaha mencari, namun gagal ditemui.

Katanya, dia juga cuba menghubungi telefon bimbit ayahnya, tetapi gagal dihubungi sebelum membuat laporan kepada pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli Superintendan Ahmad Ariffin berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak mangsa berhubung kehilangan seorang lelaki warga emas.

Katanya, anak mangsa menyedari bapanya hilang kira-kira 3.30 petang ketika mahu pulang ke rumah mereka di Tumpat.

"Usaha mencari dan menyelamat mangsa diteruskan dengan menggunakan anjing dari unit anjing pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Rakyat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dibantu penduduk kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 6:48 PM