Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mangsa yang terselamat dalam tragedi kepala air di Titi Hayun, Yan menggunakan pengalamannya ketika berkhidmat dalam pasukan bomba dan penyelamat untuk bertahan ketika terperangkap di bawah timbunan dahan dan akar kayu hampir enam jam sebelum diselamatkan.

Abdullah Morad, 58, yang juga pesara bomba berkata, ketika itu dia hanya ingat pada Allah walaupun digulung arus deras dan hampir lemas sebelum tersangkut pada rimbunan akar pokok di kawasan itu.

Abdullah adalah satu-satunya mangsa terselamat dalam tragedi kepala air di Titi Hayun manakala enam mangsa termasuk abangnya ditemukan meninggal dunia.

Dia yang putus urat betis kiri, jari kelingking kiri putus, kedua belah lengan dan kaki lebam serta calar akibat kejadian itu bersyukur kerana tragedi yang berlaku pada 18 Ogos lalu baginya umpama mati hidup semula.

"Walaupun saya kehilangan abang, Zainol Morad, 66, namun dengan pengalaman saya sebagai pesara bomba, saya gunakan sepenuhnya untuk menyelamatkan diri walaupun tiga kali tenggelam timbul dalam gulungan air.

"Ketika tersangkut di rimbunan dan dahan kayu, saya menggigil kesejukan dan hanya mampu menahan nafas di sebalik ruang udara di celah kayu malah waktu itu saya tidak mampu bergerak serta sakit di jari kelingking yang patah," katanya.

Dia yang kini bertugas sebagai Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Perlis menceritakan semula kejadian yang berlaku ketika dilawati pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Ketua Zon 2 Marzukhi Shafie dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Fauzi Shuaib.

Menurutnya, dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dia dan arwah abangnya ke dusun pusaka di Titi Hayun kerana buah-buahan masih banyak.

Katanya, sebaik tiba di pondok dusun, tiba-tiba hujan lebat dan pada masa sama terdapat tiga individu tumpang berteduh kerana mereka ada kerja membuat pondok di bahagian atas dusun.

"Kami mengenali mereka dan abang sempat mempelawa makan buah yang ada di pondok itu malah kami berbual seperti biasa sebelum menyedari air naik di bahagian dapur.

"Tiba-tiba saja air turun laju dan ketika itu kami semua dihanyutkan air deras yang sangat kuat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Putra, di sini hari ini.

Abdullah berkata, semasa bertahan di rimbunan dan dahan kayu, dia terdengar menantunya, Muhammad Muaz Mohd Idris, 31, memberitahu pasukan penyelamat ada suara sayup meminta tolong.

"Pasukan bomba akhirnya menemui saya walaupun hampir enam jam saya terperangkap di situ.

"Kalau berdasarkan pengalaman saya selama 11 tahun dalam pasukan bomba pada 1984 hingga 1995, manusia mampu hidup hampir seminggu jika mampu bertahan ketika di dalam hutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 11:33 AM