OPERASI SAR warga emas, Yaakub Ismail yang dikhuatiri hilang di dalam dusun di Kampung Pasir Dusun sejak enam hari lalu. FOTO Ihsan JBPM
OPERASI SAR warga emas, Yaakub Ismail yang dikhuatiri hilang di dalam dusun di Kampung Pasir Dusun sejak enam hari lalu. FOTO Ihsan JBPM
Hidayatidayu Razali

Jeli: "Sudah enam hari ayah hilang dan pelbagai usaha dilakukan termasuk solat hajat serta bacaan Yasin di lokasi kejadian, namun tiada sebarang petunjuk," kata Mohd Sufian Yaakub, 49.

Mohd Sufian anak kepada pesara kerajaan Yaakub Ismail, 76, yang hilang di dusun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun, di sini, sejak 3.30 petang Khamis lalu.

Menurutnya, pencarian sudah memasuki hari keenam, namun tidak ada sebarang petunjuk diperolehi termasuk kesan kehadiran binatang buas.

"Kami mencuba pelbagai kaedah termasuk mengadakan solat hajat di kawasan dusun dan bacaan Yasin serta mendapatkan bantuan daripada pengamal perubatan tradisional.

"Ada dalam kalangan pengamal perubatan tradisional memaklumkan kemungkinan ada unsur mistik yang menyebabkan ayah hilang. Saya yakin ayah masih berada dalam kawasan dusun itu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, dia sekeluarga sudah buntu dan berharap bapanya dapat ditemukan dalam keadaan selamat dalam masa terdekat memandangkan hampir seminggu hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Ariffin berkata, pencarian dilakukan dalam jarak lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Usaha pencarian dilakukan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Yaakub hilang ketika membersihkan dusun durian dan buah-buahan miliknya dan kejadian disedari Mohd Sufian yang tampil membuat laporan polis dan usaha mencari mangsa dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 4:22 PM