PELBAGAI varieti durian
PELBAGAI varieti durian
Nurul Husna Mahmud

SEBUT sahaja musim buah-buahan, tumpuan orang ramai ialah 'memburu' destinasi atau mana-mana daerah yang menempatkan dusun.

Ini disebabkan penangan 'raja' buah atau durian cukup dikenali dengan kaya tekstur tetapi lembut selain rasanya lemak, manis dan penghujungnya sedikit pahit.

Dulu, ramai memilih membelinya di jalanan dan kemudian menikmati di rumah, konsep itu sudah berubah apabila ada memilih untuk mengunjungi dusun bagi menikmati buah durian segar.

Selain menikmati raja buah itu sambil bersantai pangkin, pondok mahupun tempat rehat khas, pengunjung boleh melihat sendiri pokok mahupun buahnya tergantung 'lebat' pada pokok.

Justeru, Santai kali ini tampil berkongsi beberapa 'port' untuk anda yang begitu menyukai baka durian kampung mahupun jenis hibrid berkualiti premium.

DIBAWA mengelilingi kawasan dusun.
DIBAWA mengelilingi kawasan dusun.

PELUANG makan durian dalam dusun.
PELUANG makan durian dalam dusun.

Dusun Durian D24 Azlan Gopeng, Perak

Perak antara negeri sering disebut sebagai lokasi mesti dijejaki peminat durian kerana kualitinya meskipun ia durian kampung. Antara lokasi tersohor sering menjadi sebutan adalah Batu Kurau.

Buat penggemar dari selatan, lokasi berkenaan terlalu jauh dan untuk itu terdapat satu destinasi persinggahan lebih dekat dengan Kuala Lumpur atau terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari Ipoh iaitu Dusun Durian D24 Azlan Gopeng Perak.

Terletak di jalan besar, dusun itu bukan sahaja menawarkan pengunjung membeli, malah menikmati bufet durian di situ. Spesifik nama dusun itu D24 iaitu salah satu hibrid terbaik pernah dihasilkan dan popular dalam kalangan peminat tempatan.

Hakikatnya lebih lapan varieti ditawarkan iaitu IOI, Musang King Raub, durian kampung, duri hitam dan banyak lagi. Ia dibuka setiap hari tetapi untuk hujung minggu disarankan tempahan awal.

Ia dibuka seawal jam 9 pagi hingga 10 malam pada hari biasa, sementara untuk hari Jumaat dan hujung minggu lebih pendek iaitu 9 pagi hingga 6 petang.

PENDEDAHAN kepada generasi muda mengenai pokok durian.
PENDEDAHAN kepada generasi muda mengenai pokok durian.

TEBAL dan penuh isi durian di dusun di Gopeng Perak.
TEBAL dan penuh isi durian di dusun di Gopeng Perak.

Teratak Chu Tiah Changlun, Kedah

Selain menawarkan percutian ala desa apabila boleh beristirehat bersama keluarga selain mandi di anak sungai dalam dusun yang cukup jernih, pengunjung boleh mencuba pengalaman mengutip buah-buahan sendiri.

Anda perlu memandu sejauh lapan kilometer dari pekan Changlun menuju ke destinasi rehat itu bagi menikmati buah durian dalam suasana dusun.

Lokasi ini turut menawarkan pakej penginapan dalam chalet dan makan untuk mereka berhajat merasai pengalaman bermalam.

BEBERAPA lokasi tersohor  dalam negara boleh dikunjungi peminat durian untuk menikmati sambil bersantai
BEBERAPA lokasi tersohor dalam negara boleh dikunjungi peminat durian untuk menikmati sambil bersantai

Raub Durian Orchard, Raub, Pahang

Raub adalah tempat asal Musang King dan juga penanaman D24 iaitu durian hibrid terbaik. Justeru, tidak hairanlah kedua-dua jenis ini paling banyak dihasilkan di Raub.

Jadi, sepanjang jalan daripada bandar itu sehingga ke Bentong menawarkan orang ramai menikmati durian premium selain seleksi durian kampung. Namun buat yang mahu merasai pengalaman makan dalam dusun, rata-rata peminat buah itu menyarankan Raub Durian Orchard.

Peminat bukan sahaja boleh menikmati hidangan berlatarkan pemandangan dusun malah ada chalet untuk menginap juga.

Antara jenis durian boleh dinikmati sepanjang berada di lokasi itu termasuk musang king, D24, D7, udang merah dan tekkah.

PINTU masuk Dusun Durian D24 Azlan.
PINTU masuk Dusun Durian D24 Azlan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 7:00 AM