KAWASAN Wakaf Dusun Ilmu UiTM Melaka penjanaan ekonomi Islam. FOTO Nazri Abu Bakar
KAWASAN Wakaf Dusun Ilmu UiTM Melaka penjanaan ekonomi Islam. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

Alor Gajah: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka meneroka projek Wakaf Dusun Ilmu membabitkan integrasi dusun buah-buahan dengan elemen rekreasi menerusi kemudahan rekreasi dan riadah termasuk trek joging, berbasikal, kolam, trek aktiviti lasak dan gazebo .

Projek berimpak tinggi itu selaras saranan Kementerian Pengajian Tinggi supaya universiti awam berusaha menjana pendapatan sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan.

Rektor UiTM Cawangan Melaka Profesor Dr. Abd Halim Mohd Noor, berkata, sasaran itu membolehkan kampus berkenaan muncul sebuah institusi pendidikan yang indah, ceria dan kondusif bertemakan pembangunan teknologi hijau.

Katanya, projek itu mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Melaka, MARDI Melaka dan FAMA Melaka yang bertindak sebagai Jawatankuasa Penasihat Projek untuk merealisasikan projek itu.

Malah ia bakal merancakkan budaya infak dan wakaf dari kalangan warga UiTM dan masyarakat setempat, sekali gus dapat memupuk kefahaman dan minat mereka tentang kepentingan dan kelebihan berwakaf menurut Islam.

Beliau berkata, pelaksanaan projek Dusun Ilmu melalui mekanisme wakaf adalah pendekatan yang amat signifikan mendorong warga universiti dan masyarakat setempat turut menyumbang seterusnya dapat melestari budaya berwakaf.

"Keseluruhan projek seluas lebih dua ekar itu membabitkan pokok durian Musang King, manggis, rambutan, cempedak dan kelapa pandan. Kos dianggarkan RM150,000 itu sebahagian dari peruntukan 20 ekar tanah yang dibersihkan untuk tujuan penanaman nenas MD2.

"Pusat riadah pula seperti trek joging, trek berbasikal, kolam, trek aktiviti lasak akan dinaik taraf oleh Unit Ko-kurikulum UiTM Melaka. Dalam masa sama orang ramai boleh menggunakan kemudahan yang ada , memetik buah buahan dan menikmati persekitaran hijau,"katanya.

Koordinator Unit Zakat, Wakaf dan Sedekah (EL-WAZIF) UiTM Cawangan Melaka, Muaz Mohd Noor, pula berkata, proses penanaman 140 lebih anak pokok berkenaan bakal bermula seawal Februari dan dijangka mengambil masa di antara tiga hingga lima tahun sebelum hasil tanaman ini dapat dipetik.

Menurutnya, dianggarkan pokok-pokok ini akan mengeluarkan hasil pada tahun kelima dengan nilai anggaran RM227,800 semusim.

"Hasil jualan buah-buahan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh universiti dan masyarakat setempat. Hasil tanaman ini akan digunakan bagi manfaat warga kampus seperti menubuhkan kumpulan keusahawanan dari kalangan pelajar, bantuan kepada pelajar ketegori asnaf miskin dan lain-lain. Hasil tanaman ini juga akan dibekalkan kepada warga kampus dan masyarakat setempat.

"Bagi memudahkan proses menerima sumbangan, pewakaf boleh membuat sumbangan melalui kaedah seperti sumbangan terus ke akaun Wakaf Dusun Ilmu UiTM Melaka, atau melalui aplikasi QR Code, atau potongan melalui akaun gaji, atau menyertai skim Saham Wakaf dan terakhirnya pembelian lot-lot kecil Wakaf Dusun Ilmu", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 6:07 PM