Datuk Kazim Elias pada Majlis Pembukaan Pusat Dakwah  Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Rumah Ngaji Darul Sakinah di sini hari ini.
Datuk Kazim Elias pada Majlis Pembukaan Pusat Dakwah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Rumah Ngaji Darul Sakinah di sini hari ini.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Pendakwah dan penceramah bebas Datuk Mohd Kazim Elias mendedahkan beliau terpaksa memakai lima lapisan krim pelindung termasuk solekan asas (foundation) yang tebal setiap hari bagi mengembalikan keyakinan bertemu orang ramai susulan keadaan penyakitnya sekarang.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata, penyakit yang menyerang kulit di bahagian kaki serta badan sudah beransur pulih, namun ketika ini ia merebak ke bahagian muka pula.

Justeru Ustaz Kazim berkata, beliau kadang kala terpaksa menutup sebahagian besar wajahnya ketika menghadiri beberapa majlis ilmu sejak kebelakangan ini.

"Sebelah siang memang akan nampak elok sahaja kulit muka saya sebab pakai foundation, tetapi saya tidak boleh terdedah lama kepada cahaya matahari secara terus atau ia akan menjejaskan rawatan saya.

"Begitu juga pada sebelah malam apabila cahaya lampu turut sedikit sebanyak menjejaskan rawatan, saya perlu memastikan proses pigmentasi kulit terus berjalan agar kulit saya tidak mati sebab itu selain memakai topeng (kelubung mula), saya memakai krim ketika aktiviti luar seperti ceramah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pusat Dakwah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Rumah Ngaji Darul Sakinah di sini hari ini.

Berbicara lanjut, Ustaz Kazim berkata, beliau akan ke sebuah negara Arab di Timur Tengah pada awal September ini bagi menjalani rawatan pakar selama lima hari di sana.

"Dalam tempoh saya sakit ini, hampir 800 pusat rawatan serta individu datang hendak merawat saya cuma tidaklah saya dapat menerima tawaran (bantuan) daripada kesemuanya.

"Alhamdulillah bahagian kaki dan badan semua sudah cantik dan (luka) kering, cuma sekarang (penyakit) sudah beralih pergi ke bahagian muka. Kalau badan atau kaki boleh juga saya tutup (sorok) tetapi macam mana dengan muka?" katanya.

Sementara dalam perkembangan berkaitan, Ustaz Kazim menangkis kekeliruan dan salah faham yang mungkin timbul apabila beliau sebelum ini sering dikaitkan dengan penolakan terhadap kaedah perubatan moden sebaliknya hanya bergantung kepada kaedah perubatan Islam tradisional.

Katanya, beliau tidak bermaksud mengatakan kaedah perubatan moden perlu diketepikan dengan mengamalkan kaedah perubatan Islam terutama berasaskan makanan sunnah, sebaliknya dua kaedah perawatan itu perlu seiring.

"Rawatan sakit jantung serta diabetes yang saya alami sejak lebih 20 tahun lalu banyak yang perlu dirujuk kepada hospital (perubatan moden) termasuk rawatan (sakit kulit) saya ketika ini. Jadi kalau ada yang mengatakan saya menolak langsung perubatan moden maka itu tidak benar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 3:31 PM