ABDUL Rahman ketika mengadakan sidang media berhubung isu pelekat berbahasa Cina pada papan tanda jalan di Kuching. FOTO MOHD ROJI KAWI
ABDUL Rahman ketika mengadakan sidang media berhubung isu pelekat berbahasa Cina pada papan tanda jalan di Kuching. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menuntut Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) membuat permohonan maaf secara terbuka kerana tindakan mereka menampal pelekat bertulisan Cina pada papan tanda jalan di sekitar bandar raya ini.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, tindakan itu jelas berbentuk provokatif yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negeri ini.

Justeru katanya, pihak terbabit harus bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu boleh mencetuskan kegusaran dalam masyarakat itu.

"Mereka jelas tidak menghormati undang-undang, tidak menghormati pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab di kawasan itu dan seolah-olah mencabar DBKU untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Selain itu, tindakan mereka boleh mencetuskan ketegangan kaum kerana Sarawak mempunyai banyak bahasa. Jika bahasa Mandarin selain Bahasa Kebangsaan diguna pakai, tentu ada pihak lain juga mahu mengetengahkan bahasa ibunda mereka," katanya pada sidang media di Bangunan Majma di Kuching, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar DBKU, Datuk Junaidi Reduan dan Pengarah DBKU, Dr Morshidi Ahmad.

Dr Abdul Rahman berkata, DBKU juga sudah membuat laporan polis berhubung perbuatan itu dilakukan di tiga lokasi di pusat bandar raya ini iaitu di Jalan Main Bazaar, Lebuh Wayang dan Jalan Greenhill.

"Sekarang kita menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya kerana tindakan itu adalah kesalahan mengikut Seksyen 103(3) Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 iaitu mencacatkan nama papan tanda jalan.

"Pada masa yang sama, DBKU menggesa kumpulan terbabit supaya menanggalkan pelekat itu serta merta dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Semalam, sekumpulan ahli DAPSY Kuching menampal pelekat bertulisan Cina pada papan tanda jalan di beberapa lokasi di pusat Bandaraya

Kuching.

Tindakan mereka dikesali ramai kerana bukan sahaja tidak menghormati undang-undang, melakukan vandalisme secara terang-terangan terhadap papan tanda jalan di sekitar Kuching, malah mendabik dada dengan menularkan perbuatan itu di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 6:40 PM