RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri kerana memandu dalam keadaan mabuk di Jalan Duta Kiara menghala ke Solaris, di sini, mengundang padah apabila ditahan polis dalam Operasi Khas Ambang Krismas, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi dua minit 51 saat berhubung kejadian itu dimuat naik pemilik akaun Facebook Yaren Chan, hari ini.

"Ketika operasi itu dijalankan di lokasi berkenaan 1.10 pagi tadi, anggota polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta Honda Civic untuk pemeriksaan.

"Bagaimanapun, lelaki berkenaan cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) dengan berpatah balik sebelum dia dikejar oleh dua anggota bertugas.

"Semasa proses penahanan dilakukan, lelaki terbabit enggan memberikan kerjasama, namun berjaya dibawa ke lokasi SJR," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sarifudin berkata, hasil ujian alkohol dilakukan terhadapnya pemandu terbabit mendapati kandungan alkohol melebihi dari paras dibenarkan.

"Lelaki berkenaan dibawa ke Balai Trafik, Jalan Bandar dan ditahan selepas ujian kali kedua menunjukkan kandungan alkohol pemandu terbabit masih melebihi paras dibenarkan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 0320719999, Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 10:15 PM