ANTARA individu yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan trafik. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA individu yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan trafik. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 20 individu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan trafik termasuk berlumba dan mabuk dengan 298 jumlah saman dikeluarkan dan 17 buah motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan, Op Motosikal/Pelbagai kesalahan yang diadakan sejak kelmarin hingga awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi dijalankan Unit Penguatkuasaan dan Unit Risikan/ Operasi JSPT Kuala Lumpur dengan kekuatan 10 pegawai dan 76 anggota polis, bermula dari jam 9 malam hingga 4 pagi, di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak, Jalan Loke Yew dan Lebuhraya Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke).

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 298 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 17 buah motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan ( ekzos ).

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal.

"Selain itu seramai enam lelaki berusia 15 hingga 21 tahun ditahan kerana menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata, polis turut menahan tiga lelaki berusia 17 hingga 46 tahun yang menunggang motosikal dan akan dituduh mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

"Tangkapan 11 orang lelaki yang berusia 24 hingga 53 tahun mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 11:46 AM