ANGGOTA polis membuat pemeriksaan terhadap pemandu. FOTO ihsan Polis
ANGGOTA polis membuat pemeriksaan terhadap pemandu. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan 10 pemandu dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Mabuk Bersepadu Khas yang dijalankan di beberapa lokasi di sekitar ibu negara, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya menjalankan sekatan jalan raya (SJR) bermula jam 11 malam hingga 3.30 pagi membabitkan 74 pegawai dan anggota.

"Terdapat enam SJR dilakukan di Jalan Klang Lama, Jalan Raja Chulan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Bangsar, Jalan Kuchai Lama dan Jalan Sri Petaling.

"Dalam operasi itu, kami memeriksa 305 pemandu dengan 16 daripadanya yang berusia antara 19 hingga 51 tahun ditahan selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Hasil pemeriksaan lanjut dilakukan, enam daripada 16 individu berkenaan didapati negatif daripada memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol disiasat mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020.

"Selain itu, kami juga mengeluarkan sebanyak 31 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 3:41 PM