NORAINI (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada ibu Allahyarham Muhammad Nabil Haikal,  Siti Norazah Bahari ketika menziarahi keluarga terbabit di Kampung Batang Benar Nilai, malam tadi. FOTO Ihsan KPT
NORAINI (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada ibu Allahyarham Muhammad Nabil Haikal, Siti Norazah Bahari ketika menziarahi keluarga terbabit di Kampung Batang Benar Nilai, malam tadi. FOTO Ihsan KPT
Mohd Amin Jalil


Nilai: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, seorang daripada mangsa tragedi kemalangan berhampiran terowong menora Perak, di Kampung Batang Benar, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, ziarah itu diadakan sebagai tanda keprihatinan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terhadap musibah yang melanda.

"Saya turut menyampaikan ucapan takziah dan memberi kata-kata semangat kepada keluarga mangsa.

"KPT bersama beberapa agensi seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga Allahyarham," katanya.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Dr Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi serta Pengerusi Education Malaysia Global Services (EMGS), Datin Maizatul Akmam Alawi.

Allahyarham Muhammad Nabil, 19, bersama empat lagi rakannya dari USAS iaitu Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, Iqbal Hasnun Halimi, 23, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, meninggal dunia selepas rentung akibat

kemalangan jalan raya di Kilometer 245.2 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Kuala Kangsar, Perak.

Terdahulu, jenazah Muhammad Nabil Haikal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Batang Benar, kira-kira jam 9 pagi semalam.

Kira-kira 100 orang penduduk termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan Allahyarham hadir pada majlis berkenaan.

Bapa Allahyarham, Muhammad Fariz Amat Jusak, 49, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya sehingga jenazah anaknya itu selamat dikebumikan.

"Saya berbanyak terima kasih terutama kepada pihak universiti yang banyak membantu juga kepada semua yang mendoakan anak saya dan mangsa-mangsa yang lain, saya harap Allah sahaja yang dapat membalas budi baik dan jasa mereka semua, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 11:56 AM