BERNAMA

Setiu: Perompak dipercayai memutuskan bekalan elektrik di rumah seorang peniaga emas di Kampung Ulu Kekabu, Guntong, dekat sini , sebelum menyerbu masuk dan merompak barangan kemas serta wang tunai berjumlah RM60,000, awal pagi tadi.

Ketua Polis Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata dalam kejadian kira-kira 3.15 pagi itu, rumah mangsa berumur 23 tahun itu tiba-tiba terputus bekalan elektrik dan sejurus kemudian, terdengar pintu depan rumahnya ditendang dari luar sebelum dua lelaki memakai topi keledar dan menutup muka dengan kain masuk dengan masing-masing membawa lampu suluh.

“Seorang suspek memegang parang manakala seorang lagi memegang objek menyerupai pistol sambil mengarahkan mangsa dan keluarga menyerahkan wang dan barang kemas," katanya di sini, hari ini.

Katanya, suspek pergi ke arah adik perempuan mangsa dan mengugutnya menyerahkan barang kemas yang dipakai serta milik pelanggan yang disimpan mangsa.

“Suspek melarikan diri bersama barang kemas dan wang tunai RM3,500” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati kedua-dua suspek datang dengan motosikal dan dipercayai sengaja memutuskan bekalan elektrik sebelum menyamun.

"Suspek juga mencederakan bapa dan ibu mangsa yang tinggal bersamanya menggunakan parang ketika mereka cuba melawan.

"Bagaimanapun kedua-dua mereka kini stabil dan mangsa telah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Setiu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 6:25 PM