Nor Fazlina Abdul Rahim


Bachok: Formula Petak Ajaib yang diperkenalkan Rohaidee Mustafa sebagai teknik pembelajaran bagi subjek Sains berjaya mengangkat dirinya sebagai pemenang Anugerah Guru Inspirasi Mcdonald's 2022.

Rohaidee, 55, yang juga Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin, Melaka antara 25 guru yang menerima anugerah tahunan anjuran McDonald's dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).

Anugerah itu disampaikan Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada majlis yang berlangsung Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini yang turut dihadiri Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonalds Malaysia, Melati Abdul Hai.

Rohaidee berkata, formula berkenaan diperkenalkannya sejak 2002 ketika mengajar di SK Bukit Beruang di Melaka.

"Saya dipertanggungjawab mengajar kelas akhir dan hasil pemantauan mendapati kebanyakan murid saya lemah penguasaan bagi subjek Sains.

"Sejak itu, saya mula mengkaji cara (kaedah) paling mudah untuk membolehkan murid menjawab (soalan) subjek berkenaan selain turut meminati Sains.

"Akhirnya saya dapat (hasilkan) formula yang dinamakan 'Formula Petak Ajaib' dan kaedah ini juga dibentangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka," katanya ketika ditemui.

Susulan formula itu katanya, ramai anak muridnya boleh menjawab dengan baik soalan Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2007 dan 45 orang daripadanya memperoleh A.

"Setakat ini, saya belum mendedahkan lagi formula ini kepada guru lain dan saya berhasrat untuk berkongsinya supaya lebih ramai murid meminati Sains," katanya.

Terdahulu, Radzi menerusi ucapan perasmian mengucapkan tahniah kepada semua guru yang diangkat sebagai penerima anugerah.

Beliau percaya guru cemerlang menunaikan tanggungjawab mendidik dengan hati ikhlas dan tidak pernah mengharapkan sebarang pengiktirafan.

"Berdasarkan pembacaan hasil usaha yang dilakukan 25 guru itu, kesemua mereka menggunakan pendekatan untuk memastikan sekolah adalah ruang yang menyeronokkan.

"Itu adalah antara elemen utama Sekolahku Sejahtera. Pendekatan itu diperlukan kerana kita mahu melihat anak-anak bangun pagi dan pergi ke sekolah tanpa dipaksa kerana mereka menganggap sekolah adalah tempat menyeronokkan.

"Hari ini, kita bersaing atas tapak Sains dan Teknologi yang menjadi tunjang yang memerlukan anak-anak murid minat. Namun cabaran besar kita adalah untuk melahirkan murid yang mempunyai minat mendalam dalam bidang itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 4:42 PM