MURID menduduki peperiksaan UPSR. FOTO file NSTP Fathil Asri.
MURID menduduki peperiksaan UPSR. FOTO file NSTP Fathil Asri.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Mulai tahun depan, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan membabitkan enam subjek di mana Bahasa Inggeris dipecahkan kepada dua kertas iaitu Bahasa Inggeris (Pemahaman) dan Bahasa Inggeris (Penulisan).

Pengarah Lembaga Peperiksaan, Datin Nawal Salleh berkata, bagi murid Tahun Enam, mereka akan mengambil enam kertas iaitu Bahasa Melayu (Pemahaman); Bahasa Melayu (Penulisan); Matematik; Bahasa Inggeris (Pemahaman); Bahasa Inggeris (Penulisan) dan Sains.

Beliau berkata, pecahan kertas Bahasa Inggeris itu dibuat bertujuan memperkasakan subjek berkenaan dalam kalangan calon UPSR.

Beliau berkata, sebelum ini, satu kertas Bahasa Inggeris diperkenalkan di mana masih wujud bahagian penulisan dan pemahaman namun, jawapan kedua-duanya dikira sebagai satu markah terkumpul.

"Pembaharuan itu adalah bagi menambah baik kemahiran asas calon UPSR dalam bidang menulis dan membaca Bahasa Inggeris," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, format baru itu adalah sejajar pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melengkapi pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 11:58 AM