ANUAR Hussien. FOTO Roselan Ab Malek.
ANUAR Hussien. FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek


KONGRES Guru Dalam Perkhidmatan Malaysia (KONGRES) meminta pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) 2.0 tidak dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Presiden KONGRES Anuar Hussien berkata, lebih baik ia tidak dilaksanakan jika kementerian tidak bersedia sepenuhnya.

Menurutnya, pelaksanaan PPSMI 2.0 dalam terburu-buru akan menyebabkan keruntuhan keseluruhan sistem pendidikan sedia ada.

Katanya, KPM perlu menyediakan tenaga pengajar yang secukupnya serta mahir dalam penyampaian dalam bahasa Inggeris untuk subjek Matematik dan Sains.

“Pada masa sama, KPM harus meneliti sudut kesediaan tenaga pengajar yang ada selain dari fizikal seperti penyediaan buku teks bersesuaian.

“Tempoh persediaan itu mengambil masa kerana setiap sudut perlu diperhalusi, kalau dalam keadaan terburu-buru akan menimbulkan masalah di kemudian hari seperti beberapa program yang dilaksanakan KPM sebelum ini.

“Jangan jadikan guru dan murid sebagai bahan uji kaji dan kekerapan perubahan yang berlaku secara mendadak bakal memberi kesan jangka panjang yang negatif.

“Kita bimbang jika pelaksanaannya gagal, guru dijadikan kambing hitam dan dipersalahkan,” katanya di Jerantut hari ini.

Menurutnya, bukan semua guru bahasa Inggeris boleh mengajar Sains dan Matematik, begitu juga sebaliknya.

Beliau yang juga Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) berkata, PPSMI 1.0 menampakkan kegagalan berdasarkan kajian selidik yang dilakukan terutama subjek Matematik dan Sains.

“Berdasarkan kajian terbabit, ia disebabkan kegagalan menguasai bahasa Inggeris bukan masalah menguasai subjek Matematik dan Sains.

“Sewajarnya, dibaiki dahulu kurikulum bahasa Inggeris di peringkat rendah kerana penguasaan bahasa itu yang perlu dilakukan perubahan bukannya menyentuh Sains dan Matematik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 3:36 PM