GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pengguna yang terjejas dengan perubahan jadual penerbangan dan sudah membuat aduan perlu memastikan mereka menerima penjagaan serta bayaran balik sewajarnya.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pengguna perlu tahu hak sebagai pelanggan penerbangan dan syarikat penerbangan perlu menyelesaikan aduan dalam tempoh 30 hari selepas aduan dibuat berdasarkan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).

Menurutnya, keperluan garis masa itu juga terpakai dalam pelbagai isu berkaitan penerbangan antaranya isu pembatalan penerbangan, isu kehilangan dan kelewatan bagasi.

"Jika maklum balas yang diterima tidak memuaskan daripada syarikat penerbangan, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada Mavcom bersama dokumen berkaitan.

"Sejak 2016, Mavcom sudah menerima 22,000 aduan dan maklum balas daripada pengguna yang sudah diselesaikan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mengenai kelewatan penerbangan ketika musim perayaan baru-baru ini juga sedang giat dijalankan.

Katanya, Mavcom menjalankan siasatan berdasarkan data dan fakta bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai situasi itu.

Menurutnya, siasatan yang sudah lengkap akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Sejak Mavcom ditubuhkan, sebanyak RM4.7 juta penalti sudah dikenakan kepada syarikat penerbangan kerana tidak mematuhi MACPC.

"Pengguna boleh mengemukakan aduan kepada Mavcom di laman web www.flysmart.my atau aplikasi Flysmart di Apps Store atau Google Play Store.

"Mavcom juga boleh dihubungi menerusi talian 1800-18-6966 bagi panggilan dalam Malaysia atau 603-7651 2777 bagi panggilan luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 9:30 PM